Artikel dari http://arabic2u. my/?p=579
Al-Quran ialah kalam Allah yang merupakan salah satu mu'jizat Nabi sallallahu'alaihiwasallam. Ia juga merupakan panduan hidup umat Islam. Namun bagaimana seorang yang tidak mengetahui Bahasa Arab dapat merasai kehebatan kalam Allah dan dapat manfaat darinya sebagai panduan hidup ? Oleh itu, umat Islam dituntut mempelajari Bahasa Arab, jika tidak mampu hendaklah mempelajari terjemahan dan tafsir Quran dan paling tidak cuba melihat terjemahan ayat bila setiap kali membaca Quran. Ini kerana Quran bukan sahaja kitab yang hanya dibaca untuk mendapat pahala tetapi lebih dari itu ia sebuah kitab yang dibaca untuk memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan umat Islam. Allah ta'ala berfirman dalam Surah Muhammad ayat 24 :
أَفَلا يَتَدَبَّرُوْنَ القُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلْوْبٍ أَقْفَالُهَا (24
Yang bermaksud: (setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?
Firman Allah ta'ala lagi dalam surah Sod ayat 29:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوْا ءَايَاتِه وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُوا الأَلْبَابِ(29
Yang bermaksud: (Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
Imam An-Nawawi berkata dalam menerangkan tujuan dan adab-adab membaca Quran: "Maka apabila seseorang mula membaca Quran, hendaklah dia tunduk rendah diri(dihadapan kalam Allah), dan memikirkan ayat-ayat yang dibaca. Dalil-dalil menuntut berbuat demikian terlalu banyak dan jelas tidak perlu disebut lagi. Itulah tuntutan dan tujuan bacaan Quran."
Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam ada menceritakan kepada kita akan muncul satu masa umat Islam membaca Quran tanpa memikirkan ayat-ayatnya, bersabda beliau sallallahu'alaihiwasallam
سَيَخْرُجُ أَقْوَام مِنْ أُمَّتِيْ يَشْرَبُوْنَ القُرْآنَ كَشُرْبِهِمْ اللَبَن. رَوَاهُ الطَبَرَانِي
Yang bermaksud:" Akan muncul kaum-kaum dari umatku yang mereka membaca Quran seperti mereka minum susu".
Imam An-Nawawi dalam kitab Faidh Al-Qadir menerangkan hadis diatas dengan berkata: iaitu mereka menyebut ayat-ayat Quran dengan lidah-lidah mereka tanpa memikirkan makna-maknanya, tidak merenung hukum-hakamnya. Bahkan lidah-lidah mereka menyebut ayat-ayat Quran seperi susu yang lalu dihalkum dengan cepat(apabila mereka minum)".
NOTA:
PROGRAM MEMAHAMI JUZU' AMMA:
Kelas Bahasa Arab Quran: 9.30pagi – 10.45pagi setiap Sabtu bersama Dr Mohammad Al-Belghith. Pendaftaran sila sms 012-9637287/ 0192888954.
No comments:
Post a Comment