Semoga ibadat puasa kita pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun lepas. Berkata Imam Al-Ghazali dalam Ihya' nya, puasa itu mempunyai 3 darjat. Darjat terendah puasa ialah puasa orang awam yang hanya menahan diri daripada makan, minum, melakukan hubungan kelamin dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Darjat kedua puasa ialah puasa orang-orang yang seperti di atas dan ditambah dengan menahan mata, telinga, mulut dan seluruh tubuh badan daripada melakukan perkara-perkara yang berdosa. Darjat tertinggi di kalangan orang-orang yang berpuasa ialah orang-orang yang melakukan dua perkara di atas dan ditambah dengan ‘puasa pemikiran’.
Puasa pemikiran? Ya… menurut Imam Ghazali, puasa pemikiran ialah menahan, membebaskan dan memermedekan pemikiran kita daripada berfikir sesuatu selain daripada Allah SWT dan hari akhirat. Pemikiran yang berpuasa akan bebas daripada belenggu dunia yang melekakan. Dan hasilnya mereka sentiasa berfikir tentang redha Allah dan hari Akhirat, tanpa langsung memikirkan dunia, kecuali memikirkan dunia untuk akhirat. |